Saturday, August 24, 2019

ULEK MAYANG

Ulekkk 
Mayang kuulekkkk
Ulekkk dengan jale jemale
Ulekkk
Mayang diulek
Ulek dengan tuan nya puteri

Semalam aku klik page fiksyen Shasha. Ada satu rakaman suara cerita pasal ulek mayang. Kisah yang dialami disebabkan tarian ulek mayang.

Tak terkejut pun atas kisah mistik berkaitan ulek mayang ni kerana kebanyakan masyarakat Melayu dah tahu kisahnya. Pelbagai versi telah diperkatakan mengenai nyanyian dan tarian ulek mayang ni. Tak pasti versi mana yang betul.

Kisah ulek mayang ni aku tahu sejak sekolah rendah lagi. Akhir tahun 80-an. Tahu pun sebab sekolah aku masuk pertandingan. Pertandingan apa aku tak ingat. Masa tu aku darjah tiga agaknya. Penari pula darjah 5 dan 6.

Dikisahkah pada zaman dahulu sekumpulan nelayan telah berlayar ke tengah laut. Laut yang tenang pada awalnya tiba-tiba sahaja bergelora, ombak melambung tinggi menghempas bot mereka ke dada laut. Langit yang membiru tiba-tiba sahaja bertukar gelap. Petir dan guruh saling bertingkah memekatkan keadaan yang semakin tidak keruan. Tiada daya melawan ombak yang menggila, diiringi hujan yang mencurah, ke semua nelayan tadi jatuh lalu dipukul gelombang serta hanyut ke pantai. 

Sekian lamanya, seorang demi seorang bangun sedarkan diri. Namun salah seorang dari mereka masih belum membuka mata. Pelbagai usaha untuk menyedarkan teman mereka dari pengsan namun tidak berjaya. Lantas, seorang bomoh dipanggil lalu bergegas ke pantai. Sayangnya bomoh itu tidak mampu menyembuh nelayan tadi. Roh nelayan malang tadi sudah diperangkap oleh makhluk/jin yang berasal dari laut. Makhluk/jin tersebut langsung tidak mahu menyerahkan roh tersebut, malah semakin mengganas. Pelbagai usaha dilakukan namun ke semuanya menemui jalan buntu. 

Sehinggalah seorang puteri melihat tingkah mereka. Lalu puteri bersama saudaranya berenam turun menghulurkan bantuan. Dikatakan puteri tadi turun seorang demi seorang sehingga lengkap mereka bertujuh. Ditarikan seorang demi seorang menghampiri nelayan. Hujung selendang setiap mereka akan menyentuh wajah sehingga hujung kaki nelayan tersebut. Puteri pertama hinggalah puteri ke tujuh. Itulah cara puteri mengubati.

Apabila roh nelayan tadi berjaya di'panggil'/ masuk kembali ke jasadnya, barulah nelayan sedarkan diri. Maka nelayan itu mengucapkan syukur dan berterima kasih pada puteri bertujuh. Mata dan hatinya terus terpaut pada ke semua puteri terutamanya puteri ke tujuh. Hanya lambaian mengiringi perpisahannya dengan puteri. 

Namun dikatakan barang siapa yang telah bertemu pandang dengan salah seorang puteri bertujuh itu, maka tiada lain perilaku nelayan itu melainkan cinta semata-mata. Apatah lagi bersua dengan ke semua puteri bertujuh. Mabuk asmara membuatkan kehidupan nelayan hanya merindui sang puteri. Akal dan hatinya hanya terpahat wajah dan seri kecantikkan sang puteri. Setiap hari di pantailah tempat dia merenung. Memanggil sang puteri yang langsung tidak berkunjung tiba.

Berbicara kembali tentang tarian ulek mayang yang dijayakan oleh sekolah aku dahulu. Tarian ni cukup bilangan penari seramai 7 orang namun dinyanyikan hanya dengan menyebut;

Puteri dua berbaju serong
Puteri dua bersanggol sendeng,
Puteri dua bersubang gading
Puteri dua berselendang kuning, 

Umbokkk mayang ku umbokkk, 
Umbok dengan jale jemale
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan puteri nya empat, 

dan sambung sampai puteri ke enam. Setiap kali nyanyian puteri dua, empat dan enam, dua penari akan melangkah ke pentas dan menari. Versi asal lagu ini menyebut satu persatu puteri. Contohnya puteri satu bersubang gading, dah selesai rangkap tu sambung pula puteri dua bersubang gadinggg sehingga puteri ke tujuh. 

Di tengah sudut pentas ada seorang lelaki yang terbaring, seorang bomoh yang memegang mayang (bunga kelapa yang masih di dalam seludangnya). Bomoh akan melibas-libas mayang tadi ke tubuh lelaki tersebut dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Sambil menyeru kehadiran puteri untuk turut sama membantu.

Sampailah kepada nyanyian puteri tujuh;
Puteri tujuh berbaju serong, 
Puteri tujuh bersanggul sendeng
Puteri tujuh bersubang gading
Puteri tujuh berselendang kuning

Umbok mayang diumbok
Umbok dengan jale jemale
Nok ulek mayang diulek
Ulek dengan tuan nya puteri;

barulah lelaki yang terbaring tu bangun dan menari bersama. Dikatakan puteri ke tujuh adalah yang paling cantik dan paling tinggi ilmunya di antara puteri yang lain. Bila tiba rangkap;

Kutahu asal usulmu
Yang laut balik ke laut
Yang darat balik ke darat
Nasi berwarna hamba sembahkan

Umbokkk mayang kuumbok
Umbok dengan jale jemale
Pulihhh mayang kupulihhh
Pulih balik sedia kala

kemudian lelaki terbabit kembali baring (menggambarkan rohnya dah kembali ke jasad). Bila ke semua puteri menghilang, barulah lelaki tersebut tersedar dari pengsan. Maka selesailah tarian, lakonan dan nyanyian ulek mayang.

Versi lainnya, mengatakan salah seorang puteri itu telah jatuh cinta pada nelayan tersebut, lalu ingin memilikinya. Maka bomoh yang dipanggil berlawan dengan puteri. Tidak mahu terlepas peluang memiliki nelayan tadi, puteri itu memanggil kekandanya seorang demi seorang sehinggalah akhirnya puteri sulung iaitu puteri ke tujuh datang mendamaikan suasana. Dihantar nelayan itu kembali manakala tuan puteri bersama kesemua adindanya pulang ke alam mereka. 

Pelbagai misteri dikatakan mengenai tarian dan nyanyian ini. Ada yang mengatakan penari dan pelakon terutamanya pelakon lelaki yang pengsan itu akan dirasuk. Penari pula akan sama-sama melenggokkan tarian dengan penuh gemalai. Sekiranya kalian pernah menyaksiakn tarian ini secara langsung di mana-mana, jarang penari ulek mayang akan memandang ke depan, mereka kebiasaannya akan memaling muka ke sisi dan menunduk pandangan ketika hadapan.

Cuma misteri yang pernah aku alami kali pertama ketika menonton tarian ini di sekolah. Aku leka memandang tarian yang diiringi dengan suara mendayu. Kelihatan pelajar lelaki memainkan peranan mereka, sehingga lagu menyanyikan rangkap puteri. Dua penari naik ke pentas sehingga puteri ke tujuh. Semasa puteri ke tujuh melenggokkan tariannya, aku terpandang seorang lagi puteri yang berpakaian lain dari penari yang lain. Mereka yang lain semuanya berpakaian kuning, berselendang kuning, manakala puteri seorang itu berpakaian warna hijau kebiruan dan berselendang hitam. Menari bersama puteri ke tujuh.

Aku terus bangun, mata liar mengira jumlah penari, satu.. dua.. tiga.. empat.. lima.. enam.. tujuh.. la..la..la..pan? Terus aku keluar dan menuju ke arah hadapan pentas. Sampai sahaja pintu yang paling hadapan, penari berbaju hijau kebiruan dan berselendang hitam tadi hilang. Saat itu aku fikir, aku tersalah tengok. Mungkin kelibat penari dari sekolah lain yang kebetulan melintas hadapan pentas. Baguskan fikiran aku? Positif beb.

Dan lagu ini sangat sangat sangat aku suka. Tapi Tok aku larang, Ayah De aku larang dan dua orang kakak aku larang aku nyanyikan. Aku hairan sebenarnya kenapa semua orang larang. Yang aku ingat kakak aku cakap kalau nyanyi berhampiran pantai, sungai atau di telaga sekalipun, akan muncul ke semua puteri. Menari sehingga lagu habis dinyanyikan. Bila habis sahaja, orang yang menyanyi akan pengsan atau terus dibawa ke alam mereka. 

Waallahua'lam. 

Aku pernah 'ter'nyanyi kat telaga rumah Tok, baru je sebut ulekkk mayang diulekkk, terus timba jatuh bergolek, daun pohon besar sebelah telaga bergerak laju, angin tiba-tiba berhembus laju menerpa ke wajahku, terus aku berlari naik ke rumah. Diam dan buat-buat tak ada apa-apa. Yang pasti malam tu dan malam selepas tu aku mengekor je kakak sulung aku. Aku tak pernah nyanyi lagu tu sampai habis. Aku seriau dan takut. Tak kuasa nak hadap perkara yang akan berlaku sekiranya amaran kakak aku itu benar-benar terjadi walaupun tak tahu kebenarannya. Zaman 80-an, internet belum ada, telefon rumah pun kami tak ada waktu tu. Lagu tu terus aku lupakan.

Sehinggalah beberapa tahun lepas, aku selesai bekerja, datang bos aku duduk di hadapan melihat aku dan Wani berkemas. Tiba-tiba sahaja dia tanya awak tahu pasal ulek mayang? Aku pun cakaplah tahu. Jarang rakyat Tranu dok tahu. Kemudian aku cerita ulek mayang. Dia angguk sahaja. Dia kata puteri bertujuh tu wujud, sama ada bunian atau makhluk mana susah nak diterangkan. Cerita ulek mayang menjadi tahyul bila sebilangan manusia menyembah pantai lalu menyanyikan lagu tersebut. Yang muncul bukan puteri, tetapi makhluk lain yang menyamar sebagai puteri. Jadilah sebilangan cerita yang tidak diketahui benar mahupun tidak.

Selesai bercakap, bos aku terus ke pintu, aku pula tiba-tiba 'ringan' mulut menyanyikan ulekkk mayang kuulekkk, ulekkk dengan jale jemale, sayup aku dengar seseorang menyanyi bersama, suaranya lebih lembut dan mendamaikan. Ulekkk mayang diulekkk...

Hah! Nyanyi, nyanyi lagi!! Dah tahu lagu tu lagu memuja sibuk nok nyanyi. Juper puteri comel dakpe lagi, mari hok taring panjang, aku jugok hok susoh. Gapo nih.

Tiba-tiba bos aku dah tersembul di muka pintu. Terus aku terdiam dan serentak suara halus tadi juga hilang.

Bakpe bos naik balik?

Aku dengor suara lain. Aku naiklah. Mu ni gok, jange duk nyanyilah lagu tu. Aku pulah telinge tu. Babil! (Babil is degil gais. Baca betul-betul).

Terus bos aku tunggu aku mengemas dan kami sama-sama turun dan berpisah ketika di bawah. Sekali lagi aku dah serik nak menyanyi. (Sebenarnya aku dah tak ingat kisah lama ni. Bila dah menulis baru ingatan kembali satu persatu.) 

Tadi sebelum menulis kisah ni, aku sudah rakam nyanyian lagu ni. Hanya beberapa rangkap, siap tangan aku melenggok-lenggok, mujur suara anak aku riuh dari arah tandas. Cepat-cepat aku berhenti. Cuak juga gais. Hahahaha. Dahlah. Aku hentikan cerita ulek mayang ni. Maaflah kalau cerita aku ni dah biasa korang baca. Cuma aku teringat kisah lama, itu yang gatal nak berkongsi tu.

*********

Ulek mayang dalam ejaan dbp adalah ulit mayang. 

Ulit mayang = sebagai persembahan tradisional dalam bentuk tarian, nyanyian dan lakonan.

Umbok = umbuk (kata-kata yang manis atau janji yang muluk-muluk untuk memujuk, memperdaya, dll - Kamus Dewan edisi keempat)

Subang = anting-anting

Mayang I = bunga kelapa (pinang, kabung dll) yang masih di dalam selundangnya.
x

No comments:

Post a Comment