Monday, July 8, 2019

BUKU


Aku lupa bila kali pertama aku menanam minat membaca. Seingat aku mungkin ketika darjah 4 atau mungkin darjah 5. Minat membaca ini memberi kelebihan aku membuat karangan semasa darjah 6. Setiap kali guru Bahasa Malaysia memberi tugasan membuat karangan, pasti ada dua contoh karangan yang berada di tangannya. Satu karangan tercorot dan satu karangan terbaik.

Setiap kali nama dipanggil, hati berdebar-debar, jantung berdegup pantas malah mata tak lekang dari memandang guru itu. Bilalah cikgu nak panggil nama aku ni. "Ini contoh karangan yang tercorot. Saya nak awak semua tahu bahagian mana yang perlu diperbaiki dan diberi perhatian. Jangan ulangi kesilapan yang sama." Lantas beberapa kesilapan dan pembetulan dibincangkan bersama. Selesai karangan tercorot, guru tidak memanggil nama pelajar tersebut. Dia letak di atas meja.

"Ini pula adalah karangan yang terbaik. Okey Syuhada, tahniah kerana buat karangan yang bagus." Senyuman meleret. Bukan main lagi bila dipuji. Guru membaca karangan aku dan menerangkan beberapa poin yang membuatkan karangan aku menjadi pilihannya.

Syukur benar ketika itu banyak buku kanak-kanak di rumah arwah Tok Jah. Setiap petang aku akan membaca sebuah buku. Kadangkala berulang kali membaca buku yang sama. Jarang sangat ke perpustakaan sama ada perpustakaan awam mahupun sekolah. Hanya mengulang baca buku yang ada di rumah.

Kelemahan aku berkaitan buku adalah kesukaran mengingati tajuk buku. Namun begitu, aku akan tahu buku tersebut sudah dibaca melalui isinya. Ada satu buku yang diterbitkan pada tahun 2016 hampir 70% menyamai buku yang aku baca pada tahun 80-an dulu. Tajuknya hampir sama. Penulis buku 2016 menyatakan buku tersebut adalah pengalaman benar yang dialami sendiri. Buku bestseller.

Perghhh macam dejavu pula.

Aku tak pasti buku yang aku baca di tahun 80-an itu masih ada atau telah hilang, aku tak pernah mencari. Cuma bila membaca buku terbitan 2016 itu, aku memang ingat satu persatu cerita yang pernah aku baca dulu. Mujurlah 30% lagi iaitu permulaan dan pengakhiran buku tersebut berlainan. Jadinya tidak jemu sangat untuk menghabiskan buku tersebut.

Sekarang ni ketika menulis tajuk entri ini, aku menunggu ketibaan 4 buah buku seram yang aku pesan dengan penjual buku online. Sepatutnya dah sampai 2 minggu lepas namun atas kecuaian poslaju, buku tersebut telah dikembalikan pada penjual.

Geram betul! Aku agak buku-buku tersebut terlalu seram sehingga abang poslaju tak sampai hati dan hantar pada aku. Deme tu tak tahu ke aku ni peminat cerita seram? Haishhh geram lagi ni. Harap-harap minggu ni sampailah.

Zaman kolej dan universiti dulu aku minat membaca buku berunsurkan cinta. Selalu menempah buku dari penerbit Alaf 21. Awal mengenali buku tulisan Ramlee Awang Mursyid pun dari iklan tahun 1998 rasanya. Sekali membaca terus terpikat.

Bila tuan RAM menghasilkan buku seterusnya, pihak penerbit tawarkan tandatangan RAM untuk pembelian buku tersebut. Gembira bukan main bila tertera tandatangan tuan RAM pada buku XX (sebenarnya aku lupa buku yang mana). Waktu tu nama tuan RAM masih belum terkenal, tapi bukunya sangat aku minati. Banyak koleksi buku cinta dan buku tuan RAM dalam koleksi aku.

Sekarang ini buku tuan RAM masih menjadi koleksi tapi buku cinta sudah tidak mampu aku habiskan pembacaan. Mungkin faktor umurlah ni (tiba-tiba salahkan umur). Anda pula bagaimana? Buku apa yang menarik anda untuk membaca?

Sunday, July 7, 2019

TERIKNYA MATAHARI

Sang mentari menyinar garang hari itu. Aku mengambil bakul pakaian yang perlu dijemur. Penyangkut baju yang berada di atas meja kucapai. Bersedia untuk digunakan. Kulindungi kepala dengan topi hijau askar yang lebarnya menutupi teriknya matahari.

Leka menjemur, teriknya matahari bertukar riak. Perlahan-lahan sang awan melebarkan diri ke serata arah. Aku mengeluh.

Ketika itu suami menjenguk dari pintu dapur. Sambil memandangnya, "Abang, tengoklah, mendung. Asal Nor jemur baju kat luar mesti mendung. Padahal tadi panas je."

Rungut aku yang tidak bersyukur. Suami memandang keliling. Dia senyum.

"Cuba Nor fikir positif. Allah sayangkan Nor, sebab itu dia bagi awan di atas sana untuk menutup matahari tu. Tak nak Nor panas."

Terdiam aku.

"Lagipun kalau kena panas, Nor kan selalu pening kepala. Allah bagi mudah untuk Nor sebab itu DIA redupkan seketika langit bagi peluang Nor sudahkan kerja menjemur tu."

Padu pula suami aku bagi tazkirah. Allah. Terkesima aku dibuatnya.

"Betul dah tu bang."

"Lagipun kalau hujan turun tak sempat nak angkat jemuran, boleh basuh balik. Ni jam (Sekarang ni) tak payah dah pergi ke sungai basuh baju. Letak je dalam mesin basuh terus cuci sampai mengering lagi. Tunggu nak jemur ke. Senang."

Aduhhh. Tepat pula tembakan kata-kata suami aku. Aku diam tak menjawab. Kerja yang tertangguh tadi aku cepat-cepat aku selesaikan.

Perlahan-lahan awan yang mendung tadi beralih pergi. Matahari kembali memancar terik. Aku senyum memandang pakaian yang sesekali terbuai ditiup angin.

Alhamdulillah, hari itu, jemuran yang ada kering dengan sempurna.


Saturday, July 6, 2019

MELANCONG



Waktu kecil dulu kami suka sangat dibawa abah ke mana-mana. Pergi ke bandar tak sampai setengah jam pun rasa macam lama sungguh. Ada ketika kalau dalam perjalanan ke tempat yang melalui jambatan, bukan main seronoknya kami sambil melaung "Aaaairrr aaaairrrr, aaaaairrr". Dari awal nampak air (sungai atau laut) sehingga jauh dari pandangan. Hahahaha sejenis keriangan kami adik beradik.

Tempat yang menjadi kebiasaan bagi kami pergi berkelah sama ada di sungai mahupun pantai. Ke tempat yang sama pun kami tak kisah asalkan dapat naik kereta, lihat pemandangan kiri dan kanan serta menikmati tujuan perjalanan kami. Indahnya kenangan lama.

Perjalanan yang paling jauh dalam ingatan aku adalah ke Kuala Lumpur. Waktu zaman tahun 80-an dulu, memang teruja sangat kalau sampai ke KL. Rasa seperti melancong ke luar negara. Senyuman bergayut sahaja dibibir.

Bila terjumpa gambar lama, masing-masing cuba memerah ingatan. Biasanya tak banyak sangat yang diingati memandangkan kami masih kecil waktu itu. Cumanya setiap kali melihat gambar, mesti akan ada yang bagitahu "Syuhada masa kecil ni selalu muntah kalau naik kereta. Kadang tak sampai setengah jam dah muntah. Mabuk berjalan." Hahaha.

Sungguh.

Waktu dulu abah atau ma selalu bekalkan plastik untuk aku. Selalu sangat aku duduk di tepi tingkap untuk memastikan angin luar dapat membelai-belai wajah aku. Selalu juga masuk sahaja ke dalam kereta, aku terus tidur. Siap tutup muka dengan tuala. Ma dan abah selalu risaukan aku.

Namun keadaan aku tak menghalang kami untuk menikmati perjalanan. Sampailah waktu aku nak ke UUM Sintok untuk menyambung pelajaran. Aku ingat lagi abah selitkan plastik dalam beg galas. Dia bisikkan pada aku. Risau aku muntah. Aku ingat dalam 3 kali agaknya abah naik atas bas untuk memastikan aku benar-benar selesa. Alhamdulillah perjalanan aku berjalan lancar. Tiada adegan muntah di dalam bas.

Sejak hari tu, abah dah semakin yakin aku dah sembuh dari mabuk perjalanan. Lega betul agaknya abah. Paling jauh aku melancong ke Thailand. Teringat ibu kawan aku berkata pada aku, "lihatlah wajah bulan yang ada, sejauh mana kita melangkah, sejauh mana kita berjalan, tetap bulan yang sama kita pandang. Betapa Allah itu Maha Berkuasa, Dia nak kita tahu ke mana sahaja kita di dunia, Dia tetap SATU." Ibu kawan aku itu memandang aku.

Wajah dan bibirnya menguntum senyum. Aku balas senyuman dia. Sampai sekarang kata-katanya aku ingat walaupun beberapa tahun lepas dia sudah kembali ke negeri abadi.

Kalau teringat balik kisah lama ini, aku pasti tersenyum. Terlalu cepat masa berlalu. Kenangan dan pengalaman yang sentiasa dirindui. Semoga Allah memberkati dan merahmati perjalanan hidup kita semua.


Friday, July 5, 2019

MIMPI

"Ibu, Daus nak keluar main bola dengan kawan-kawan boleh?"

"Dah solat belum? Sudah solat baru boleh keluar. Balik pukul 6.30."

"Pukul 7 boleh tak ibu?"

"Lewat sangat pukul 7 tu. Pukul 6.30 kamu balik boleh rehat minum air sekejap, lepas mandi, dah bersih wangi tunggu maghrib je. Nantinya pukul 7 baru nak balik, tergesa-gesa pulak kamu nak bersiap." Leteran ibu memenuhi ruang dapur tersebut.

Firdaus hanya tersenyum melihat tingkah ibunya. "Okey ibu. Insya-Allah Daus janji pukul 6.30 Daus balik."

"Okey. Dah janji kena tepati tu."

"Yea ibu. Sayang ibu." Sebuah kucupan hinggap di pipi kanan sang ibu.

Kembang hati ibu melihat telatah anaknya. Dipandang anak yang keluar ke pagar bersama 3 kawan yang kemudiannya menuju ke padang. Senyum masih terukir dibibirnya. Teringat sewaktu anaknya berumur 3 tahun setengah. Waktu itu mereka baru pulang dari pusat diagnos autisme dan anaknya telah disahkan moderate autisme.

Luluh hatinya menerima hakikat tersebut. Setelah beberapa tahun menjalini terapi cara kerja, intervensi dan juga pertuturan. Akhirnya anak yang belum pernah mengeluarkan perkataan itu berjaya bertutur. Anak yang sukar bergaul itu seakan 'jinak' bersama rakan sebayanya. Anak yang selalu memandang sepi ke hadapan tu sangat ramah menegur orang disekelilingnya.

Seolah-olah dia ingin menampung balik kelompongan sewaktu dia belum boleh bercakap dulu. Sejak pandai bertutur itu, anaknya kian menunjukkan perkembangan positif. Tiada lagi amukan yang tiba-tiba. Tiada lagi ketawa tanpa sebab. Tiada lagi hantukan kepalanya ke kepala ibunya. Tiada lagi meltdown ketika bersua ramai orang. Semuanya berjalan lancar.

"Nor, dah lewat dah ni. Kenapa tidur lepas asar ni?" Senyum masih bergayut dibibirku.

"Nor, aik senyum je. Mimpi apa tu?"

Perlahan-lahan aku membuka mata. Wajah suami yang kesamaran semakin jelas didepan mata. Mata aku terpaku diwajah suamiku. Otak aku ligat menganalisa situasi yang berlaku.

Allah.

Rupanya aku bermimpi. Alangkah indahnya mimpi tadi. Seakan realiti yang sentiasa aku impikan.

Allah. Terima kasih atas mimpi yang indah ini. Semoga kami sekeluarga menikmati kehidupan seperti mimpi tadi disyurgamu. Terima kasih atas cintaMU mengirim mimpi indah buatku ya Allah. Alhamdulillah. Walaupun mimpi aku bahagia sekali.


Thursday, July 4, 2019

HUJAN

Tap... tap... tap... 

Titisan hujan ketika itu mengetuk cermin di sebelah kiriku. Mataku yang sudah kebasahan memandang titisan yang semakin lebat. Fikiranku kusut. Pelbagai persoalan berselirat mengusutkan akal. Pelbagai persoalan yang tidak kutemui jawapan. Pelbagai persoalan yang menekan kewarasan.

Suami di sebelah yang sedang memandu perlahan memegang tanganku. Diusap-usap tanganku yang kedinginan.
"Nor okey tak?" 
Sunyi.

"Kita sebenarnya dah tahu pasal Firdaus kan. Nor tahu kan kita datang untuk diagnos hari ini sebab kita nak kepastian. Bukan hanya sekadar andaian kita sahaja kan?"

Aku menundukkan wajah. Masih berusaha menenangkan gelora dijiwa. Tak mampu aku mengiyakan kata-kata yang keluar dari suamiku. Tak mampu juga aku memandang wajahnya.

"Abang nak Nor tabah dan sabar dengan anak-anak kita. Kita usaha yang terbaik untuk mereka. Sekarang ni tak perlu persoalkan kenapa perkara ni terjadi, yang penting adalah apa tindakan kita selepas ni."

Esakan kedengaran. Tak perlu lagi aku menahan sebak di dada. Kuluahkan kekusutan yang ada dengan airmata. Sayunya hati aku ketika itu tidak mampu aku gambarkan. Sekali lagi aku terpaksa akui kebenaran yang nyata. Anak ke dua didiagnos moderate autisme. Longlai rasanya jiwaku untuk menerima kenyataan ini.

Kakaknya setahun setengah yang lalu sudah disahkan mild autisme. Doa aku semoga adiknya seperti kanak-kanak tipikal yang lain. Memadailah hanya sikakak sahaja mempunyai autisme. Namun sekali lagi aku harus berhadapan dengan pahitnya sebuah kebenaran.

Mengigil seluruh badanku untuk menelan realiti kehidupan. Aku masih memandang hujan yang lebat itu. Deras membasahi bumi. Seakan mengerti kepiluan yang kuhadapi. Seakan mengerti gundah di hati yang cuba kutenangkan kembali. Seakan mengerti aku perlu kuat menyakini diri.

Aku tahu, Allah berikan anak syurga ini sebagai amanah untuk dijaga. Banyak perkara yang perlu kami pelajari, banyak hal yang perlu kami usahakan, banyak keadaan yang perlu kami tempuhi. Hati perlu cekal, jiwa perlu kental. Tak mudah untuk meredhai segala dalam sekelip mata, hanya kepercayaan pada illahi yang mengukuhkan keyakinan kami. Semoga di setiap kisah perjalanan anakanda kami, terselit pahala sebagai bekalan kami di sana.

Sampai di rumah, hujan yang bersisa perlahan membasahi tubuhku, lantas menyejukkan wajahku, seolahnya sebuah pelukan untuk memberiku kedamaian. 

Allah.

Terima kasih atas pelukan cintaMU. Semoga aku dan suami terus kuat menjaga amanah kirimanMU ini. Kurnikan jiwa yang teguh buat kami. Tinggikanlah cinta kami padaMU Ya Allah agar keimanan kami terus kukuh. Semoga amanah ni kian mendekatkan kami kepadaMU Ya Rahim.


Wednesday, July 3, 2019

SURAT

Aku masih ingat lagi surat pertama yang aku dapat kiriman dari kawan sekelas. Waktu tu aku sedang membantu abah membasuh van. Bukan main aku panjat van dan sental dengan sabun. Bersungguh-sungguh. 

Tiba-tiba abah aku cakap, "kawan Kak Chu ke tu?". Ada dua orang budak lelaki berdiri di depan peti pos. Dengan yakinnya aku jawab tak kenal. Masa tu aku tak nampak pun muka siapa. 

Siap tolong abah, aku pergi ke peti pos sebab abah bagitahu budak lelaki tadi ada letak sesuatu dalam tu. Bila buka sahaja peti pos, terselitlah sekeping surat bertulis tangan. (Time tu mana ada komputer kat kampung. Telefon bimbit pun belum ada lagi, apatah lagi telefon pintar.) 

Merah padam muka aku sebaik sahaja aku menghabiskan ayat terakhir surat itu. Nasib baik abah aku tak baca sama. Rupa-rupanya surat itu merupakan luahan perasaan. Allahu. Darjah lima kot masa tu. MasyaAllah. Macamanalah boleh terfikir nak sukakan seseorang. Suka sebagai kawan tu aku rasa normallah.

Esoknya lepas sekolah aku bersemuka dengan budak lelaki tu. Aku kembalikan surat yang diterima. Aku mengucapkan kata penolakan dengan luahan perasaan dia. Tanpa menunggu reaksinya aku melangkah pergi. Cinta yang tak berbalas itu akhirnya terpadam begitu sahaja. Aku agak je lah. 

Memang aku tak pernah cerita pada abah mahupun mak aku. Aku diam sediamnya sebab aku malu. Tak tahu nak mengadu macamana. Sudahnya aku mengambil keputusan mengabaikan kisah surat tersebut. 

Zaman sekolah menengah pula dapat juga surat. Kali ni siap ada hadian buku nota, pen serta alatan tulis. Waktu ni memang gembira habis dapat hadiah macam tu. Pen pun cantik, buku kajang pula yang dapat. Boleh dikatakan tiap-tiap minggu. Setiap kali hari Ahad datang sekolah mesti dah ada surat dan hadiah dalam meja aku.

Ni bukan sebab pengirim nak mengorat aku, dia nak mengorat kakak aku. Yang untungnya mestilah aku. Yang paling tak munasabah tu aku tak pernah bertemu muka dengan pengirim. Hanya mengenali dia daru jauh. Itu pun kakak aku yang tunjukkan gerangan orangnya.

Dah masuk zaman universiti baru aku kembali fikir, waktu aku dapat hadiah tu semua, pengirim tu nak bagi kat aku atau kakak aku? Kahkahkah.  Nasiblah kalau dia berkias untuk bagi kakak aku sebab semuanya aku buat harta sendiri.

Kisah surat menyurat ini berlanjutan sehingga aku sambung belajar di universiti. Ketika tahun pertama, aku dah ada telefon yang diberi oleh teman lelaki. Selain telefon untuk bertanya khabar, surat juga menambah kemanisan dalam perhubungan kami. Namun jodoh kami tidak ke jinjang pelamin.

Aduh. Bernostalgia pula. Kenangan tetap kekal dalam ingatan, kisah yang dah berlalu pergi tak perlu diungkit kembali, tak gitu?

Sebenarnya, zaman belajar dulu aku sangat suka menulis. Pernah menulis cerpen masa tingkatan 1. Ni kakak sulung aku yang ingatkan aku kembali. Aku dan lupa sebenarnya. Menulis berpuluh-puluh puisi zaman sekolah menengah. Ni pun kawan aku yang imbaukan kembali. Menulis surat chenta pada kekasih zaman uni dan menulis puisi putus cinta seterusnya. 

Dulu aku rajin juga simpan koleksi puisi dan surat-surat namun dah banyak kali berpindah randah, rasanya aku dah buang segala. Sekarang tak ada dah nak utus surat ni. Teknologi mendahului. Buka telefon, taip dan boleh hantar pesanan. Ringkas dan pantas.

Kenangan apa pula anda miliki berkait dengan surat?

Tuesday, July 2, 2019

NAMA

Namaku Syuhada.

Ustaz kata namaku memberi maksud golongan yang mati syahid. Nama yang indah. Setiap muslim mendambakan kematian yang mulia disisi Allah. Setiap muslim menginginkan ke syurga. Salah satu kematian yang dipandang tinggi oleh Allah adalah mati syahid. Syahid dalam menegakkan agama Allah.

Suatu waktu dulu ketika arwah Tok Jah aku membaca Al-Quran, ada ayat yang berbunyi Syuhada', terus kakak aku cakap; "Tok panggil mu tu." Berlarilah aku pergi ke arah Tok. Tengok-tengok Tok leka mengaji.

Duduklah aku sebelah Tok. Nak bertanya risau kena marah. Nampak tak hormatkan Tok. Aku menunggu sehingga Tok buka mulut. 

Agak terganggu dengan aku yang terkebil-kebil sebelahnya, Tok hentikan bacaan, 
"Bakpe?" (Kenapa?)
"Tok panggil saya ke takdi." 

Bibir Tok terukir senyuman.
"Dok eh, Tok mengaji ni, ada ayat hok sebut namamu. Mu tengok. Jelas namamu dalam quran. Nama molek-molek."

Aku mendengar dengan tekun.

"Mu kena baca quran. Banyok namamu ni." Sambung Tok. Aku diam, tak tahu nak cakap apa. Tok meneruska  bacaannya. Agak lama menunggu (sebenarnya tak sampai 10 minit pun) kegelisahan aku dibuatnya. Dalam waktu yang sama tak berani nak angkat punggung sambung bermain. Masih setia menunggu bicara Tok.

"Doh, dakpelah mu nok gi main pun. Tok dok habis lagi ni. Nok bia prabih dulu." (Dah tu tak mengapalah kalau kamu nak bermain. Tok masih belum habis mengaji lagi. Biar Tok habiskan dulu.)

Apa lagi, terus aku berlari menuju ke arah kakak-kakakku yang sedang bermain. Itulah rutin kami. Campur pula dengan Ayah Su dan tok sepupu yang sekepala.

Malam pula aku, 2 kakakku serta Ayah Su akan ke rumah Tok Teh, tok saudara untuk belajar mengaji. Rumahnya berhadapan sahaja. Hanya dipisahkan dengan jalanraya. Jalan tersebut merupakan laluan utama yang menghubungi beberapa buah kampung yang lain ke jalan besar. Bukan setakat motor dan kereta, bas pun melalu juga jalan ini.

Acapkali juga Tok Teh atau anaknya yang temankan kami balik rumah. Dia tolong tengokkan lalulintas agar selamat untuk kami melintas. Bila dah melintas, dengan pantasnya kami bertiga berlari menuju ke pintu belakang.  Pintu utama biasanya dibuka bila ada tetamu luar yang datang. Kalau saudara yang dah biasa datang memang akan menuju ke pintu belakang juga.

Reka bentuk rumah tradisi di Terengganu kebanyakan mempunyai bahagian bawah yang tinggi. Melepasi kepala orang dewasa. Di bawah rumah biasanya menjadi tempat letak kenderaan, tempat jemur baju, tempat simpanan kelapa (rumah tok aku) serta reban ayam. Jadi jarak pintu pagar dengan pintu belakang agak jauh.

Cabaran terbesar kami adalah kegelapan sepanjang melalui bawah rumah. Semasa melintas jalan, masing-masing berpegangan tak nak lepas. Sampai sahaja depan pintu, berebut semua nak masuk sebab tak nak selak pintu.  

Di sebalik pintu terdapat dapur arang sebelah kiri, telaga separuh darinya bertentangan dengan pintu masuk, bilik mandi dan sebelah kanan pintu adalah tangga. Bawah tangga ada ruang yang Ayah Ngah letakkan peralatan kerja dia.

Masuk je pintu terus kami berlari naik tangga. Kalau boleh nak terbang rasanya. Tangga punyalah banyak. Tinggi juga satu persatu anak tangga. Sampai depan pintu tu, ketuk bertalu-talu. Mujur lampu luar memang dibiarkan menyala. Kuranglah takut kami. Selagi Tok atau Ayah De tak buka, selagi itulah kami bersilih ganti mengetuk pintu. Tak berani nak pusingkan badan memandang laman bilik air Tok. Risau kot ternampak benda lain.

Begitu tingkah kami setiap kali pergi mengaji di rumah Tok Teh. Kenangan.



Monday, July 1, 2019

DOA

Bismillah Hirrahman Nirrahim

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Aku mulakan dengan kalimah agungMu Ya Allah. Aku memohon izinMu Ya Allah untuk menceritakan secebis kisah dari berjuta kisah dalam hidupku. Bukan untuk disanjung. Bukan juga untuk dirajai. Malah bukan untuk mendekati rasa ujub. Lindungilah aku dari penyakit hati ini Ya Allah.

Aku menulis untuk mencari keredhaanMu Ya Allah. Aku menulis untuk memberi bahagia dalam hidupku Ya Allah. Aku menulis untuk menjadi asbab pintu syurgaMU terbuka luas menyambutku.

Izinkan kepadaku wahai Tuhan yang aku yakini dengan ilham yang cergas, ingatan yang kuat, hati yang ikhlas, amarah yang padam dalam hamparan aksara yang aku baitkan.

Tiadalah upaya aku melainkan dengan izinMu. Tiadalah pandainya aku tanpa kurniaMu. Tiadalah ilhamku tanpa rahmatMu. Hanya Engkaulah yang Maha Kuasa. Yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengetahui.

Semoga kisah yang aku ceritakan memberi manfaat setelah dibaca, difahami serta diingati setelah melalui.

Mengingati pada kisah bukan mengingati aku sebagai pembawa kisah.

***********

Aku dah pernah buat blog sebelum ni. Dah lama aku tak buka dan post. Aku masuk kelas online untuk buat blog. Kena siapkan satu tugasan setiap hari. Aku berjaya selesaikan. Namun aku tak rasa puas. Bila hati dah tawar untuk berbuat sesuatu, aku terus tinggalkan.

Sehingga seorang rakan facebook cikpuam Norsa'adah Ahmad 'mengumpan' dengan hantaran yang dia buat. Dia ajak sesiapa yang berminat untuk turut sama menyertai. Alhamdulillah Allah jentikkan hati aku untuk terlibat sama.

Setiap hari kami perlu mengarang dengan menggunakan perkataan yang diberikan. Sepertimana tatapan kalian hari ini dan hari mendatang, ada terselit perkataan sebagai pencetus idea untuk sebuah kisah. Sama ada di awal cerita, di pertengahan mahupun di penghujung cerita.

Tataplah, bacalah dengan nama tuhanMu, kirimkan doa buatku wahai teman untuk terus berusaha. Usaha untuk menyelak halaman diari yang kian kerap dibuka dalam lipatan memori.